Skip to main content

EU: Atasi Pelanggaran Hak Orang Asal melibatkan Barangan Import dari Malaysia

Klasifikasikan Sarawak sebagai ‘Berisiko Tinggi’ di bawah Undang-Undang Anti-Pembasmian Hutan yang Baharu

Wanita masyarakat Kenyah Jamok di kampung Long Tungan menyuarakan kebimbangan lantaran tiada rundingan dibuat membabitkan tanah mereka, Borneo, Malaysia. © 2019 The Borneo Project

(Brussels) – Kesatuan Eropah (EU) perlu mengklasifikasikan negeri Sarawak, Malaysia sebagai kawasan ‘berisiko tinggi’ di bawah peraturan anti-pembasmian hutan yang baharu, begitu menurut gabungan organisasi alam sekitar, hak asasi manusia dan orang Asal hari ini.

Berdasarkan penilaian meluas yang dijalankan oleh Human Rights Watch, RimbaWatch, SAVE Rivers, KERUAN, Bruno Manser Fonds dan The Borneo Project, Sarawak berisiko tinggi mengalami pembasmian hutan dan pelanggaran hak asasi orang Asal. Hal ini lantaran berjuta-juta hektar hutan hujan purba di Sarawak bakal dimusnahkan untuk meraih kayu balak dan untuk dijadikan ladang kelapa sawit bagi memenuhi bekalan di pasaran antarabangsa. 

© RimbaWatch, 2024

“Kanun tanah Sarawak yang sedia ada begitu mengekang hak orang Asal untuk memperoleh dan mengekalkan hak milik tanah pusaka mereka, sedangkan syarikat-syarikat pula dibenarkan untuk meranapkan hutan hujan,” kata Luciana Téllez Chávez, penyelidik kanan bahagian alam sekitar dan hak asasi di Human Rights Watch. “Undang-undang anti-pembasmian hutan EU perlu mengambil kira rekod Sarawak yang teruk membabitkan proses piawaiannya. Justeru, klasifikasi yang wajar untuk Sarawak adalah ‘berisiko tinggi.’”

Peraturan Produk Bebas Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) bakal menyekat barangan import, antara lain, kayu dan minyak sawit yang terkait dengan isu pembasmian hutan atau pelanggaran undang-undang melibatkan hak asasi manusia, penggunaan tanah, dan tenaga buruh. Selepas penguatkuasaan peraturan tersebut bermula pada Januari 2025, barangan import tidak boleh lagi dijual dalam pasaran EU jika ia berasal dari kawasan yang hutannya dimusnahkan selepas tahun 2020. Selain itu, peraturan tersebut menuntut Suruhanjaya Eropah, selaku badan eksekutif utama EU, untuk mengklasifikasikan sesebuah kawasan itu sebagai “berisiko rendah, sederhana, atau tinggi” sebelum tamat 2024. Dua pertiga produk import EU yang terpalit dengan isu pembasmian hutan berasal dari lima negara: Côte d’Ivoire, Brazil, Indonesia, Ghana dan Malaysia.

Di bawah klasifikasi ‘berisiko tinggi,’ negara ahli EU wajib melakukan pemeriksaan kastam sebanyak tiga kali ke atas produk balak dan minyak sawit yang diimport dari Sarawak. Selain itu, syarikat-syarikat EU yang mengimport produk tersebut juga perlu melakukan kaedah penilaian (due diligence) yang lebih ketat bagi mengurangkan risiko alam sekitar dan isu hak asasi. Suruhanjaya tersebut juga perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mengenal pasti kaedah sewajarnya untuk mengurangkan risiko tersebut.

Menurut maklumat terhad daripada sebuah agensi kerajaan Sarawak, sejak 2023, Sarawak telah mengeksport produk balak bernilai sekurang-kurangnya RM37.3 juta (€7.8 juta) ke EU, termasuk ke Belanda, Perancis, dan Greece – besar kemungkinan angka tersebut hanyalah sebahagian kecil berbanding jumlah dagangan sebenar. Menurut laporan terkini Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) yang merekodkan eksport barangan kayu sejak 2021, Belanda, Jerman, Perancis, dan Belgium termasuk 10 pembeli terbesar produk balak Malaysia yang diiktiraf oleh MTCC. Selain itu, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia, sebuah badan kerajaan berasaskan industri, EU adalah destinasi ketiga terbesar bagi eksport minyak sawit Malaysia.

Sepatutnya, syarikat yang beroperasi untuk jangka masa panjang di Sarawak menerusi lesen pembalakan diwajibkan oleh Jabatan Hutan Sarawak untuk mendapatkan pensijilan. Namun, kumpulan-kumpulan masyarakat sivil tempatan dan luar negara menyenaraikan banyak kesalahan serius membabitkan program pensijilan yang digunakan secara meluas di Sarawak, iaitu Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS).

Penilaian yang dibuat oleh gabungan masyarakat sivil ke atas risiko alam sekitar dan hak asasi manusia di Sarawak turut meneliti ancaman pemusnahan hutan yang bakal berlaku serta kewujudan, pematuhan, dan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi hak orang Asal secara berkesan. Penilaian tersebut mendapati:

  • Kerajaan negeri Sarawak sudah menetapkan sasaran untuk membuka satu juta hektar ladang hutan industri menjelang 2025. Bagi mencapai sasaran ini, lebih 400,000 hektar hutan yang tumbuh semula secara alami akan dirombak antara tahun 2022 hingga 2025.
  • Undang-undang negeri Sarawak gagal mempertahankan hak orang Asal untuk memiliki, menggunakan, dan mengawal tanah pusaka mereka. Undang-undang Sarawak meletakkan had keluasan tanah yang boleh dimiliki secara sah oleh orang Asal kepada 1,000 hektar sahaja. Malah, kerajaan negeri boleh membatalkan hak milik tanah orang Asal pada bila-bila masa tanpa perlu meminta izin atau memberikan pampasan kepada mereka.
  • Kerajaan negeri Sarawak menganugerahkan syarikat-syarikat tertentu hak pajak khusus ke atas beberapa kawasan yang membolehkan mereka beroperasi atas tanah tersebut biarpun tanah tersebut belum dinilai, malah, menyerahkan hak penilaian tanah kepada syarikat terbabit. Kanun tanah Sarawak menyatakan bahawa syarikat-syarikat perlu melaporkan, lalu mengetepikan tanah orang Asal yang termasuk dalam konsesi mereka sekiranya pajakan mereka sudah menceroboh tanah orang Asal. Akan tetapi, tiada hukuman dikenakan ke atas syarikat tersebut sekiranya ia gagal berbuat demikian. Akibatnya, syarikat-syarikat ini boleh bertindak secara haram untuk tidak mengendahkan hak milik tanah orang Asal tanpa perlu berdepan sebarang hukuman.
  • Tiada sebarang undang-undang di Sarawak yang mewajibkan syarikat-syarikat mendapatkan persetujuan orang Asal secara bukan paksaan (free), sebelum beroperasi (prior), dan memberikan maklumat tepat (informed) sebagai syarat diberikan hak pajak atau dibenarkan beroperasi di atas tanah orang Asal. Pensijilan yang mewajibkan persetujuan orang Asal berdasarkan maklumat (informed consent) penuh dengan rekod ketidakpatuhan, pengauditan yang hambar, penguatkuasaan yang lemah, dan tiada jalan penyelesaian konkrit yang boleh diharapkan oleh orang Asal.
  • Tiada sebarang undang-undang di Sarawak untuk melindungi hak orang Asal untuk mendapatkan maklumat, biarpun mengenai tanah mereka sendiri. Sehingga kini, kerajaan negeri masih belum mengeluarkan sebarang data tentang tanah orang Asal yang didakwa sudahpun dilakukan penilaian. Kerajaan negeri juga masih belum mendedahkan maklumat syarikat pembalakan dan minyak sawit yang sudah diberikan hak pajak. Bahkan, peta guna-tanah yang tepat dan dikemaskini juga masih belum tersedia untuk tatapan umum.

“Syarikat pembalakan masih terus-menerus meranapkan hutan orang Asal di Sarawak tanpa sebarang rundingan atau mendapatkan persetujuan awal masyarakat, dan ini terang-terangan menunjukkan Sarawak ‘berisiko tinggi’ di bawah undang-undang EU yang baharu. Perkara ini akan berterusan sehinggalah kerajaan kami mampu mengatasi pelanggaran hak orang Asal, sekali gus, memberikan komitmen yang teguh untuk memelihara hutan yang tinggal,” kata Celine Lim, wanita Kayan yang juga pengarah urusan SAVE Rivers, sebuah organisasi orang Asal di Sarawak.

Sejak peraturan anti-pembasmian hutan tersebut diluluskan oleh EU, kerajaan Malaysia telah mencabar definisi pembasmian dan degradasi hutan serta pemantauan yang dibuat, atas alasan, walaupun ladang kayu industri menyebabkan hutan semulajadi berubah menjadi ladang satu spesies (contohnya, pokok akasia), ia masih kekal sebagai hutan simpan.

“Kerajaan Malaysia mungkin sedang cuba mengelak sekatan EU dengan tidak menghiraukan pemusnahan hutan secara besar-besaran yang sedang berlaku di ladang kayu,” menurut Adam Farhan, pengarah RimbaWatch, sebuah organisasi alam sekitar yang berpusat di Kuala Lumpur. “Hal ini menunjukkan peri pentingnya kaedah penilaian yang ketat ke atas komoditi hutan yang berisiko.”

Selain itu, kerajaan pusat di Malaysia menekankan bahawa, di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO), tanah yang hutannya ditebang selepas 31 Disember 2019 tidak layak mendapat pensijilan minyak sawit mampan. Pensijilan kini diwajibkan untuk semua ladang sawit, namun, masih belum jelas apa tindakan yang menanti ladang yang dibuka atas hutan yang ditebang selepas tarikh tersebut. Biarpun kerajaan pusat sudah menetapkan had 6.5 juta hektar ladang sawit  di seluruh negara, masih belum jelas juga bagaimana penetapan ini akan dikuatkuasakan, memandangkan bidang kuasa tanah dan hutan terletak di bawah kerajaan negeri, bukan kerajaan pusat.

“Skim pensijilan Malaysia tidak menepati janji, malah, tidak menjamin pematuhan undang-undang EU,” menurut Annina Aeberli daripada Bruno Manser Fund, sebuah organisasi perlindungan hutan tropika yang berpusat di Switzerland. “EUDR membuka peluang untuk kerajaan Malaysia menambah baik standard kelestarian hutannya, memperbetul kelemahan dalam sistem audit mereka, dan mewujudkan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.”

Pada bulan Mei, gabungan masyarakat sivil tersebut menulis kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk berkongsi dapatan dan saranan mereka. Gabungan tersebut menggesa kerajaan Malaysia untuk menerapkan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (DHOA) dalam undang-undang persekutuan; menerima pakai undang-undang kebebasan maklumat yang lebih luas di peringkat persekutuan; mewujudkan perundangan persekutuan bagi melarang tuntutan mahkamah strategik ke atas penyertaan orang awam (strategic lawsuits against public participation, SLAPP); dan mewujudkan hukuman setimpal bagi kesalahan melanggar piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan dan Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS). Akan tetapi, Kementerian berkenaan masih belum memberikan sebarang maklum balas.

Kerajaan Malaysia adalah antara pengkritik EUDR yang paling lantang, dengan mendakwa bahawa EU tidak berunding terlebih dahulu dengan negara pengeluar tentang kesan peraturan baharu tersebut. Bahkan, ia bertindak menghalang kumpulan-kumpulan masyarakat sivil di Malaysia daripada menyertai perbincangan dengan Suruhanjaya Eropah tentang penguatkuasaan EUDR. Bantahan terhadap EUDR juga semakin meningkat daripada negara-negara anggota EU, sehingga, pada 13 September, Canselor Jerman Olaf Scholz menyeru agar ditangguh dahulu penguatkuasaan EUDR, sedangkan syarikat-syarikat sudah diberikan tempoh 18 bulan untuk bersiap sedia.

“Pada 2023, dunia kehilangan hutan pengimbang iklim yang sangat penting, kira-kira sebesar 10 padang bola sepak setiap minit, dan permintaan daripada negara EU untuk produk kayu dan minyak sawit adalah antara penyebab utama,” menurut Téllez Chávez. “Gesaan kerajaan-kerajaan ahli EU untuk melengah-lengahkan penguatkuasaan peraturan EUDR ini menampakkan kelemahan kepimpinan yang amat mengecewakan sedang dunia berdepan kecemasan iklim, dan menuntut Eropah melaksanakan tanggungjawabnya.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country