(New York) - Kerajaan Malaysia menggunakan taktik kekerasan sepanjang 2021, antara lain, menangkap secara arbitrari pengkritik kerajaan, menguatkuasakan dasar antimigran, dan memperhebat ancaman terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), begitu dinyatakan oleh Human Rights Watch hari ini dalam Laporan Dunia 2022. Dalam tahun yang menyaksikan pelbagai konflik politik, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada bulan Ogos lalu digantikan oleh Ismail Sabri dan gabungan Barisan Nasional di bawah pimpinannya. Namun, pendekatan kerajaan terhadap isu hak asasi tidak menampakkan banyak perubahan.
“Kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, dan media semuanya menjadi sasaran di Malaysia pada tahun 2021,” menurut Linda Lakhdir, penasihat undang-undang Human Rights Watch di Asia. “Kerajaan harus menghentikan siasatan yang bertujuan mengancam pengkritik dan sepatutnya menghormati hak setiap orang untuk melontarkan pendapat mereka tanpa rasa takut.”
Dalam Laporan Dunia 2022, edisi ke-32 dengan 752 halaman, Human Rights Watch mengulas amalan hak asasi manusia di hampir 100 negara. Kenneth Roth, Pengarah Eksekutifnya mendakwa, anggapan ramai bahawa autokrasi semakin meningkat adalah tidak benar. Apabila diteliti dari sebuah negara ke negara lain, dilihat semakin ramai yang membuat protes jalanan walau berdepan dengan risiko ditangkap atau ditembak, sekali gus menunjukkan semangat demokrasi yang belum padam. Bahkan, golongan autokrat semakin sukar memanipulasikan keputusan pilihan raya mengikut kehendak mereka. Namun, tambah Kenneth lagi, pemimpin demokrasi perlu menangani keperluan negara dan global dengan cara lebih baik dan memastikan demokrasi merealisasikan hasil yang diharapkan.
Pihak berkuasa Malaysia menggunakan undang-undang yang skop dan takrifannya kabur untuk menyiasat ramai aktivis, termasuklah seorang pelukis grafik, kartunis politik, pencipta sebuah filem animasi bersabit kekerasan pihak polis, aktivis hak asasi pemohon suaka politk, wartawan, peserta perhimpunan yang memprotes salah urus kerajaan mengendalikan pandemik Covid-19, dan banyak lagi.
Pada bulan Februari, Mahkamah Persekutuan, yakni mahkamah tertinggi di Malaysia, memutuskan Malaysiakini, sebuah portal berita dalam talian, bersalah menghina mahkamah susulan lima komen daripada pembaca, biarpun portal tersebut menurunkan komen-komen tersebut sejurus dimaklumkan tentangnya. Pada bulan Julai pula, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersabit jenayah fitnah terhadap Malaysiakini menerusi tafsiran common law yang sempit, sekali gus mengancam hak kebebasan media.
Salah laku polis terhadap suspek dalam tahanan masih merupakan masalah serius, termasuk isu kebertanggungjawaban polis dalam kes-kes terbabit.
Dalam pada itu, kerajaan tidak menampakkan usaha untuk membanteras diskriminasi terhadap golongan LGBT, walaupun isu ini masih berleluasa di Malaysia. Malah, pihak berkuasa mengusulkan beberapa cadangan pindaan kepada undang-undang Syariah (perundangan Islam) yang akan mendatangkan bahaya kepada golongan LGBT jika diluluskan. Ini termasuklah hukuman yang lebih berat bagi kesalahan seks sejenis dan ekspresi gender. Selain itu, layanan buruk terhadap Nur Sajat, seorang wanita transgender yang melarikan diri dari Malaysia kerana didakwa “menghina Islam” kerana mengenakan pakaian wanita Islam di sebuah majlis agama kini telah diberikan perlindungan suaka politik di Australia. Kes ini menampakkan betapa golongan transgender Malaysia sedang berdepan ancaman dan diskriminasi.
Lebih 179,000 orang pelarian dan pemohon suaka yang kebanyakannya dari Myanmar, kini berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia namun tidak diberikan status sah, justeru tidak dibenarkan bekerja atau memasuki sekolah kerajaan. Pihak berkuasa imigresen melakukan serbuan berulang kali dan menahan beribu-ribu pekerja tanpa dokumen sah biarpun tindakan tersebut berisiko menghindari mereka daripada mendapatkan vaksin atau rawatan disebabkan Covid-19. Selain itu, kerajaan Malaysia menolak permintaan UNHCR untuk diberikan akses masuk ke pusat tahanan imigresen, sementara menteri dalam negeri pula menolak permohonan akses.