Skip to main content

Malaysia: Hak Asasi Meleset di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim

Janji Reformasi Diketepikan; Kuasa Menapis Hak Bersuara Diperluaskan

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan teks belanjawan 2025 di parlimen, Malaysia, 18 Oktober, 2024. © Jabatan Penerangan Malaysia menerusi AP

(Bangkok) – Kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memungkiri janji-janjinya untuk memperbaik undang-undang yang yang bersifat kabur dan 'tangkap muat', sebaliknya, telah memperluas kuasa menindas sepanjang tahun 2024 dengan menjadikan kebebasan bersuara suatu kesalahan, begitu menurut Human Rights Watch hari ini dalam Laporan Dunia 2025. 

Dalam edisi laporan dunia yang ke-35 dengan 546 halaman, Human Rights Watch menyemak amalan hak asasi manusia di lebih 100 negara. Di kebanyakan negara dunia, menurut Pengarah Eksekutif Tirana Hassan dalam esei pengenalannya, banyak kerajaan telah memburu, menangkap dan memenjarakan penentang politik, aktivis, dan wartawan tanpa sebab. Kumpulan bersenjata dan pihak berkuasa kerajaan sewenang-wenangnya membunuh warga sivil secara haram, menghalau mereka keluar dari rumah, dan menyekat akses untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan. Sebahagian besar daripada lebih 70 pilihanraya umum yang diadakan pada 2024 serata dunia turut menyaksikan pemimpin autoritarian meraih undi disebabkan retorik dan dasar mereka yang  bersifat diskriminasi.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menjanjikan reformasi besar untuk rakyat Malaysia, tapi sebaliknya, kerajaan pimpinan beliau bertindak mengekang kebebasan ekspresi, perhimpunan dan agama,” kata Bryony Lau, pengarah kanan Human Rights Watch bagi rantau Asia. “Menjelang giliran kepimpinan Anwar untuk menerajui ASEAN pada 2025, kerajaannya harus memperjuangkan hak di Malaysia dan juga serantau.”

  • Cadangan pindaan bagi memperluas bidang kuasa undang-undang yang menindas, termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menandakan bahawa kesalahan-kesalahan bersabit kebebasan bersuara akan meningkat. Akta Keselamatan Siber Malaysia yang baru dikuatkuasakan pada Ogos 2024 juga memperluas bidang kuasa kerajaan untuk memantau ekspresi dalam talian.
  • Penahanan imigresen secara zalim dan menindas oleh kerajaan Malaysia melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Kerajaan Malaysia kini menahan lebih 16,000 orang pelarian dan migran di pusat tahanan imigresen, dengan risiko penderaan fizikal, malnutrisi, dan pengabaian dari aspek perubatan.
  • Pada Oktober 2024, Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan untuk memberikan kewarganegaraan, sekali gus mengiktiraf hak wanita agar setara dengan lelaki yang membolehkan wanita memindahkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara. Namun, rang undang-undang tersebut bermasalah, antara lain, ia membatalkan kewarganegaraan automatik yang sebelum ini diberikan kepada anak-anak penduduk tetap yang lahir di Malaysia.
  • Pihak berkuasa Malaysia menafikan hak orang Asal, khususnya di timur Malaysia, kerana masih membenarkan operasi perniagaan berterusan di hutan yang didiami orang Asal. Di Sabah, pihak berkuasa mengusir secara paksa beratus-ratus orang Bajau Laut, iaitu sebuah masyarakat etnolinguistik yang tidak bernegara dan hidup seperti nomad.

Justeru, kerajaan Malaysia sepatutnya menghentikan amalan yang mengekang kebebasan asasi, sebaliknya, ia wajar melaksanakan reformasi untuk mengangkat hak asasi manusia, begitu menurut Human Rights Watch. 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country